Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Luqman Hakim,
menceritakan pada suatu hari ada seorang telah datang berjumpa dengan
Rasulullah S.A.W. kerana hendak memeluk agama Islam. Sesudah mengucapkan dua
kalimah syahadat, lelaki itu lalu berkata :"Ya Rasulullah. Sebenarnya
hamba ini selalu sahaja berbuat dosa dan payah hendak meninggalkannya."
Maka Rasulullah menjawab : "Mahukah engkau berjanji bahawa engkau sanggup
meninggalkan cakap bohong?""Ya, saya berjanji" jawab lelaki itu
singkat. Selepas itu, dia pun pulanglah ke rumahnya.
Menurut riwayat, sebelum lelaki itu memeluk agama Islam, dia
sangat terkenal sebagai seorang yang jahat. Kegemarannya hanyalah mencuri,
berjudi dan meminum minuman keras. Maka setelah dia memeluk agama Islam, dia
sedaya upaya untuk meninggalkan segala keburukan itu. Sebab itulah dia meminta
nasihat dari Rasulullah S.A.W.
Dalam perjalanan pulang dari menemui Rasulullah S.A.W.
lelaki itu berkata di dalam hatinya :"Berat juga aku hendak meninggalkan
apa yang dikehendaki oleh Rasulullah itu."Maka setiap kali hatinya
terdorong untk berbuat jahat, hati kecilnya terus mengejek.
"Berani engkau berbuat jahat. Apakah jawapan kamu nanti
apabila ditanya oleh Rasulullah. Sanggupkah engkau berbohong kepadanya"
bisik hati kecil. Setiap kali dia berniat hendak berbuat jahat, maka dia
teringat segala pesan Rasulullah S.A.W. dan setiap kali pulalah hatinya berkata
:
"Kalau aku berbohong kepada Rasulullah bererti aku
telah mengkhianati janjiku padanya. Sebaliknya jika aku bercakap benar bererti
aku akan menerima hukuman sebagai orang Islam. Oh Tuhan....sesungguhnya di
dalam pesanan Rasulullah itu terkandung sebuah hikmah yang sangat
berharga."Setelah dia berjuang dengan hawa nafsunya itu, akhirnya lelaki
itu berjaya di dalam perjuangannya menentang kehendak nalurinya. Menurut hadis
itu lagi, sejak dari hari itu bermula babak baru dalam hidupnya. Dia telah
berhijrah dari kejahatan kepada kemuliaan hidup seperti yang digariskan oleh
Rasulullah S.A.W. Hingga ke akhirnya dia telah berubah menjadi mukmin yang
soleh dan mulia.